Konsep dan Falsafah Seni Suara dan Musik Dalam Islam
Seni suara terawal dalam sejarah Islam ialah seni bacaan al-Qur’an atau tartil al-Qur’an. Apabila al-Qur’an diwahyukan dan Rasulullah s.a.w. menyampaikannya kepada para sahabat, mereka sentiasa membaca al-Qur’an dengan suara dan rentak yang baik. Amalan ini sangat dipuji oleh Rasulullah s.a.w. malah Baginda menggalakkan mereka memperlagukan suara ketika membaca al-Qur’an. Ini terbukti daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Hiasilah al-Qur’an itu dengan suaramu.
(HR. Ahmad dan Abu Daud)
Selain itu, seni suara terawal dalam Islam juga boleh dikesan daripada seruan azan iaitu seruan untuk mengerjakan sembahyang. Rasulullah s.a.w. menugaskan Bilal ibn Rabah untuk menjadi juruazan kerana suaranya yang lunak dan keupayaannya melagukan azan dengan baik.
Nyanyian memuji Allah dan Rasul-Nya juga merupakan satu daripada sejarah manifestasi seni suara dalam Islam. Nyanyian yang dipanggil burdah atau ansyudah ini telah lahir bersama-sama dengan kelahiran Islam juga. Contohnya, sambutan penduduk Madinah apabila Rasulullah s.a.w. sampai ke bandar Yathrib dalam peristiwa hijrah. Mereka menyambut Baginda dengan nyanyian yang memuji Rasulullah s.a.w. yang berhijrah ke tempat mereka untuk menyampaikan dakwah. Hal ini terus berkembang dalam masyarakat Islam pada zaman-zaman seterusnya.
Menerusi peristiwa hijrah tersebut, satu lagi cabang seni yang penting dalam kehidupan manusia iaitu seni suara dalam sejarah tamadun Islam telah berkembang. Walaupun pada peringkat awal perkembangannya, seni suara dalam tamadun Islam tidak disertai dengan alunan muzik, namun setelah sekian lama, beberapa peralatan muzik turut digunakan bagi mengiringi kelunakan suara. Hal ini berlaku terutamanya dalam kalangan ahli-ahli tasawwuf. Beberapa peralatan muzik digunakan bagi menambahkan kekhusyukan dan tumpuan minda mereka kepada kalimah-kalimah zikir yang dilafazkan.
Walaupun penggunaan alat muzik dalam seni suara merupakan sesuatu yang kontroversial dalam pengajian Islam, namun ramai juga ulamak terkenal yang tidak mengharamkannya secara mutlak. Ini bermakna, sama seperti cabang-cabang kesenian yang lain, ia bergantung kepada falsafah, cara dan matlamat muzik itu digunakan. Ini juga bermakna terdapat garis panduan tertentu yang mesti difahami dan diikuti oleh umat Islam dalam kaitan dengan penggunaan alat muzik. Antaranya adalah seperti berikut:
Ciri-ciri dan kriteria seni suara dan musik (Muzik)
- Memahami matlamat dan tujuan hanyalah untuk mendapat keredaan Allah s.w.t.
- Mestilah tidak mengganggu dan membawa kepada pengabaian kewajipan yang lebih utama misalnya sembahyang, tanggungjawab rumahtangga dan lain-lain.
- Tema yang disampaikan mestilah tidak mengandungi unsur-unsur maksiat.
- Penampilan dan gaya penyampaian mestilah tidak dicemari dengan unsur-unsur larangan seperti mendedahkan aurat, gaya yang memberahikan, tempat yang tidak elok seperti bar, kabaret, kelab malam dan sebagainya.
- Membina batasan-batasan akhlak dan aurat.
- Tidak keterlaluan terlibat dalam seni suara dan muzik. Ia hanya dibolehkan sekadar merehatkan fikiran seketika untuk meneruskan kerja-kerja yang berfaedah dalam kehidupan.
Ini bermakna dari segi batasan syarak, adalah jelas dalam Islam bahawa semua seni suara dan muzik yang mengandungi perkataan yang kotor, fasik atau mendorong kepada maksiat adalah haram hukumnya.
Oleh itu, seni suara dan muzik yang tidak melanggar syariah dan akhlak Islam serta memberi manfaat kepada manusia secara keseluruhan dibolehkan sebagai santapan jiwa yang menyumbang kepada keharmonian dan kedamaian manusia sejagat.
Post a Comment for "Konsep dan Falsafah Seni Suara dan Musik Dalam Islam "
Kunjungi Juga :
FB. wisnu.natural
WA. 087722452802
IG. @wisnuwirandi