PENDAPAT ULAMA-ULAMA MASA KINI TENTANG MUSIK (MUZIK)


Ulama-ulama Islam masa kini tidak ketinggalan menyumbangkan pandangan-pandangan mereka terhadap hukum musik yang menjadi titik perbedaan pendapat di kalangan ulama sejak zaman berzaman. Mereka terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan yang mengharuskannya dan golongan yang mengharamkan. Mereka yang mengharamkan berpegang kepada nas-nas Al-Quran dan sunnah serta ‘illah yang disebut oleh ulamak-ulamak terdahulu. Cuma ada juga khilaf di kalangan mereka tentang alat-alat yang diharuskan. Ada juga yang menghadkannya kepada duf sahaja. Mereka ini pula berikhtilaf lagi pada keadaan-keadaan dibenarkan memukul dufdan siapakah yang diharuskan menggunakannya.
  1. Pendapat pertama menyatakan bahawa duf hanya boleh digunakan di dalam upacara-upacara perkahwinan, hari raya, dan suasana-suasana kegembiraan yang lain seperti berkhatan. Hanya kaum perempuan sahaja yang dibenarkan memukul duf. Pendapat ini ialah pendapat Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Saleh Fauzan, Syeikh Muhammad bin Saleh Al-‘Usaimin dan Syeikh Nasiruddin Al-Albani. Mereka bersandarkan kepada mazhab Hanbali.
  2. Pendapat kedua pula menyatakan duf boleh digunakan dalam semua keadaan dan boleh dipukul oleh kaum lelaki dan wanita.
Golongan yang lain pula ialah ulamak-ulamak masa kini yang mengharuskan penggunaan duf dan gendang sahaja bersandarkan kepada pendapat-pendapat ulamak terdahulu sebagaimana yang telah diterangkan di dalam helaian-helaian yang terdahulu.

Seterusnya ada ulamak-ulamak masa kini yang mengharuskan penggunaan seluruh alat muzik tanpa ada pengecualian tetapi mereka meletakkan syarat-syarat dan batas-batas penggunaan alat tersebut agar tidak bertentangan dengan hukum Allah SWT. Mereka yang berpendapat demikian antaranya ialah:

  1. Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitabnya Malamih Al-Mujtama’ Al-Muslim.
  2. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam Al-Mar’ah wa Baitil Muslim juzuk 4 bab 8 iaitu Babul Lahwi wal La’ab.
  3. Dr. Mohammad Imarah di dalam bukunya Al-Islam wal Funun Al-Jamilah.
  4. Dr. Kaukab ‘Amir dalam bukunya As-Simaa’ ‘Inda As-Sufiyyah.
Pendapat mereka sama dengan pandangan beberapa ulamak terdahulu seperti Ibnu Hazm Al-Andalusi, Ibn Tahir Al-Qaisarani, Abdul Ghani An-Nablusi, Al-Kamal Jaafar Al-Idfawi Asy-Syafie dan Al-Imam Mohd. Asy-Syazili At-Tunisi.

Sebahagian daripada mereka seperti Al-Qardhawi berpendapat demikian kerana hadith-hadith yang mengharamkan alat-alat muzik pada pandangan beliau sama ada sahih ghair sarih (sahih tetapi tidak nyata) ataupun sarih ghair sahih (nyata tetapi tidak sahih). Nas-nas yang seumpama ini tidak mampu untuk memutuskan hukum kerana hukum mestilah diputuskan dengan nas yang sahih wa sarih (sahih dan nyata).

Sebahagian yang lain pula seperti Dr. Abdul Karim Zaidan dan Dr. Kaukab A’mempunyai pandangan yang sama dengan Al-Ghazali. Mereka menyatakan pengharaman alat-alat yang disebut di dalam nas-nas hadith adalah kerana ia merupakan syiar ahli fasiq dan maksiat. Pada pandangan mereka muzik tidak haram dari sudut irama atau bunyinya. Tetapi yang menjadikannya haram ialah unsur-unsur luaran yang lain iaitu ia adalah alatan yang biasa digunakan di dalam majlis-majlis dan tujuan-tujuan yang bertentangan dengan batas syara’. Justeru itu alat-alat tersebut tunduk kepada perubahan tempat dan masa. Penggunaan alat-alat ini juga mestilah berlegar dala lingkungan yang dibenarkan oleh syara’ iaitu:

  1. Niat penggunaan alat-alat tersebut dan pendengar iramanya hendaklah betul berdasarkan kaedah Al-umur Bimaqasidiha.
  2. Tujuan dan suasana digunakan alat-alat tersebut ialah tujuan dan suasana yang baik, mulia dan tidak bertentangan dengan batas-batas syara’.
Dr. Kaukab ‘Amir menyatakan: “Pada hakikatnya majlis-majlis arak pada hari ini seperti kelab-kelab malam menggunakan seluruh alat muzik yang ada sekarang. Majlis-majlis tersebut tidak lagi menggunakan alat-alat tertentu (seperti zaman dahulu) malah keseluruhan alat digunakan. Oleh itu tidak mungkin untuk kita menghalalkan sebahagian alat (seperti duf dan gendang) dan mengharamkan sebahagian yang lain. Bahkan diharuskan kepada individu muslim mendengar irama alat-alat tersebut tetapi hendaklah menjaga adab-adab Islam serta tidak cuba meniru kelakuan dan perbuatan ahli-ahli fasiq dan maksiat.[xxi]

KESIMPULAN DAN PENDAPAT YANG RAJIH (TERPILIH)

Setelah meneliti perbahasan dan perbincangan para ulamak dan fuqaha’ dahulu dan masa kini, pendapat yang rajih pada pandangan penulis ialah:

  1. Alat-alat muzik tidak haram kerana ‘ainnya (zatnya) dan tidak halal kerana ‘ainnya. Tetapi di sana terdapat unsur-unsur luar yang menyebabkan sebahagian alat hukumnya haram sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW di dalam hadith-hadith Baginda. Sebabnya ialah kerana alat-alat yang diharamkan tersebut adalah syiar peminum-peminum arak, lelaki pondan dan golongan fasiq dan maksiat. Yang dimaksudkan dengan syiar ialah alat-alat tersebut tidak digunakan melainkan oleh golongan tersebut sahaja dan digunakan di dalam majlis-majlis mereka sahaja sebagaimana halnya di zaman dahulu. Di zaman tersebut tiadanya media-media seperti televisyen, radio, video, kaset, wayang, satelit dan tiadanya bentuk-bentuk hiburan seperti pementasan, pentomin, drama… dan sebagainya. Di zaman tersebut juga, hiburan seperti nyanyian dan alat-alat muzik hanya boleh didapati di majlis-majlis golongan fasiq, lelaki pondan dan majlis-majlis arak.
  2. Irama-irama muzik dari sudut asalnya adalah sama dengan irama-irama yang boleh dikeluarkan oleh kerongkong manusia atau binatang seperti burung. Semuanya adalah bunyi. Cuma yang berbeza ialah suasana dan tujuan. Muzik biasanya digunakan untuk berhibur dan biasa digunakan dalam bentuk yang melanggar hukum dan batas-batas Allah SWT. Irama-irama yang dihasilkan oleh manusia juga haram hukumnya sekiranya digunakan pada tujuan, suasana dan keadaan yang merempuh sempadan syariat. Begitulah juga halnya dengan alat seumpama duf yang menjadi ittifaq ulamak keharusannya, sekiranya digunakan untuk tujuan-tujuan yang bertentangan dengan syara’, ia juga menjadi haram.
  3. Di zaman kini, penggunaan muzik begitu berleluasa. Muzik digunakan dalam media-media massa elektronik. Di TV, muzik digunakan untuk rancangan-rancangan yang berfaedah dan tidak berfaedah. Begitu juga dengan radio. Di sini kita dapati penggunaan muzik telah berubah daripada zaman dahulu. ‘Uruf dan adat telah bertukar sebagaimana kata Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya Al-Mufassal[ xxii] . Oleh kerana perkembangan dunia seni yang begitu pesat, muzik kini tidak lagi menjadi syiar kepada majlis-majlis arak, ahli fasiq dan maksiat semata-mata. Misalnya apabila kita mendengar muzik di dalam rancangan berita atau muzik yang digunakan untuk pemindahan daripada satu rancangan kepada rancangan yang lain, adakah ia mengingatkan kita kepada majlis-majlis arak atau majlis-majlis ahli fasiq dan maksiat? Sudah tentu jawapannya tidak. Malah muzik di zaman kini berfungsi mengikut tujuan dan suasana ia digunakan. Kerana itu penulis berpendapat penggunaan muzik di zaman kini adalah harus tetapi mestilah menerapkan syarat-syarat berikut:
  • Niat pengguna dan pendengar hendaklah betul berdasarkan kaedah Al-Umur Bimaqasidiha iaitu sesuatu urusan adalah berdasarkan maksudnya
  • Tujuan dan suasana penggunaan muzik tidak melanggar batas-batas Allah SWT. Iaitu mestilah digunakan pada tujuan-tujuan yang mulia.
  • Mengelak daripada menyerupai golongan fasiq, maksiat dan kufur iaitu menjaga adab-adab Islam dalam penggunaan muzik. Tidak boleh menggunakan muzik-muzik tertentu yang hanya digunakan oleh golongan fasiq dan fasad seperti rentak rock dan yang seumpama dengannya. Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, ia seperti tergolong dalam kaum tersebut”[xxiii]

4. Berdasarkan kepada syarat-syarat di atas, bidang-bidang seni Islam perlu mengelak daripada menggunakan muzik-muzik yang ada persamaan dengan muzik-muzik tidak senonoh yang digunakan oleh golongan fasiq dan maksiat seperti penyanyi-penyanyi pop sekarang. Nasyid-nasyid Islami seeloknya mengekalkan penggunaan alat-alat yang mengeluarkan bunyi / irama muzik yang tidak menyerupai irama yang digunakan oleh lagu-lagu pop agar wujud di sana garis pemisah di antara nasyid Islai dengan lagu-lagu yang bertentangan dengan syara’.

5. Di dalam pembikinan filem Islam, drama, lakonan, pementasan dan seumpamanya yang amat meemrlukan kepada unsur muzik bagi menghidupkan adegan-adegan tertentu seperti adegan sedih, gembira, penderitaan, semangat dan sebagainya, muzik boleh digunakan tetapi hendaklah sekadar diperlukan sahaja. Muzik itu pula hendaklah muzik yang tidak melanggar adab-adab Islam dan tidak berlawanan dengan citarasa fitrah. Semua perkara ini diambil kira untuk mewujudkan perbezaan di antara seni Islam dengan seni jahiliah.

6. Di zaman sains dan teknologi yang serba canggih, umat Islam menghadapi cabaran yang begitu kuat daripada media massa. Media mempamerkan segala-galnya tidak kira baik atau buruk, berfaedah atau tidak, membina atau merosakkan, dan… dan… TV, radio, kaset dan seumpamanya menyerang rumah-rumah umat Islam. Tidak mungkin lagi media-media tersebut dipisahkan daripada kehidupan masyarakat moden. Justeru itu tiada jalan lain pada pendokong-pendokong perjuangan Islam selain daripada mencari galang ganti kepada bentuk-bentuk seni yang bertentangan dengan Islam. Umat Islam mesti mengorak langkah di dalam bidang-bidang seni untuk memaparkan alternatif Islam kepada masyarakat. Filem-filem Islam, drama-drama Islam, dokumentari Islam, hiburan Islam seperti lagu-lagu dan nasyid Islam perlu menggantikan hiburan-hiburan dan siaran-siaran jahiliah yang teramat berleluasa sekarang ini.

Post a Comment for "PENDAPAT ULAMA-ULAMA MASA KINI TENTANG MUSIK (MUZIK)"